top of page

Permint Plywood mula beroperasi, hanya separuh tenaga kerja

KUALA TERENGGANU - Anak syarikat Golden Pharos Bhd (GPB), Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) mengesahkan kelulusan untuk kilang itu beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperoleh selepas permohonan dikemukakan melalui Lembaga Industri Kayu Malaysia (MTIB) dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).



Pegawai Bertugas PPSB, Ahmad Bazli Razali menerusi satu kenyataan semalam bagaimanpun berkata, hanya 50 peratus sahaja tenaga kerja dibenarkan untuk menjalankan operasi kilang selain mewujudkan sistem bekerja dari rumah bagi pekerja yang tidak terlibat dengan aktiviti pembuatan secara langsung.


"Kelulusan yang diberikan oleh kementerian adalah bagi memastikan syarikat venir kerajaan negeri itu memenuhi permintaan pasaran eksport dalam kalangan pembeli.



"PPSB juga dikehendaki menghantar kepada MTIB senarai pekerja yang terlibat sepanjang PKP dan memastikan pergerakan pekerja hanyalah dari tempat kilang beroperasi ke rumah dan sebaliknya," katanya di sini semalam.


Pengumuman pembukaan kilang papan lapis yang beroperasi di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Dungun itu juga turut dibuat oleh Kumpulan GPB melalui Bursa Malaysia.


Menurut Ahmad Bazli, dari segi protokol kebersihan dan keselamatan, syarikat itu perlu mengambil bacaan suhu pekerja yang hadir setiap hari di pintu masuk kilang di samping menyediakan cecair pembasmi kuman dan topeng muka yang perlu dipakai sepanjang masa ketika operasi.


"Proses nyahkuman di premis syarikat juga perlu dijalankan sebelum syif atau operasi bermula sekurang-kurangnya tiga kali sehari," katanya.


Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/79533/EDISI/Terengganu/Permint-Plywood-mula-beroperasi-hanya-separuh-tenaga-kerja-dibenarkan

© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

194 views

Comments


bottom of page